Posted by: abdullahdin | November 26, 2009

SELAMAT BERKORBAN

RISALAH KORBAN ABIM DAERAH PADANG TERAP 1430H
ALANGKAH RUGINYA TIDAK BERKORBAN

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Suatu perkara yang perlu selalu dalam ingatan dan perhatian kita ialah merebut peluang. Lebih-lebih lagi jika peluang itu untuk mendapat keredaan Allah yang menjanjikan suatu keuntungan yang berlipat ganda.
Dalam ibadat, peluang itu kalau dilihat dari sudut masa, kehadirannya ada yang datang hanya sekali dalam setahun seperti malam lailatul qadar di bulan Ramadan yang mana ganjarannya beramal di dalamnya lebih baik dari seribu bulan.
Begitu juga yang berlaku dengan ibadat korban yang hanya datang sekali sahaja dalam setahun di setiap bulan Zulhijjah yang bermula dari hari ke-10 Zulhijjah sehingga hari yang ke-13 Zulhijjah.
Ibadat korban merupakan ibadat yang sangat dituntut (sunnah mu‘akkadah) dalam syariat Islam. Ia boleh berperanan sebagai platform bagi seseorang untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah subhanahu wa ta‘ala di atas ni‘mat yang dilimpahkan oleh Allah kepadanya.
Di samping itu juga, ia merupakan sebahagian daripada syiar agama Allah yang mesti diagungkan dan dihormati. Allah subhanahu wa ta‘ala menjelaskan bahawa mengagungkan dan menghormati syiar agama Allah itu adalah satu tanda ketakwaan hati orang-orang yang beriman. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang menghormati (membesarkan) syi‘ar-syi‘ar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa), kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”
(Surah al-Hajj: 32)
Yang pastinya, keuntungan mengerjakan ibadat korban ialah janji Allah dengan memberi ganjaran pahala yang amat banyak kepada orang yang melakukannya. Peluang yang sangat terhad dan pahala yang bakal diperolehi itu sepatutnya mendorong kita terutama orang-orang yang berkemampuan iaitu orang yang mempunyai lebihan harta sebanyak nilai harga binatang korban dari keperluannya dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq, untuk merebut dan tidak melepaskan peluang untuk melakukan ibadat korban agar ianya tidak akan terlepas begitu saja. Antara fadilat dan kelebihan berkorban itu ialah:


1. Titisan darah korban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. ‘Imran bin Hushain radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatuna Fatimah radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.”
(Hadis riwayat al-Hakim)
2. Kebajikan (hasanah) yang dikurniakan kepada orang yang berkorban adalah sebanyak bulu binatang yang dikorbankan. Zaid bin Arqam radhiallahu ‘anhumeriwayatkan:

Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada korban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Pengertian kebajikan (hasanah) mempunyai maksud yang berbeza-beza di kalangan para ulama ahli tafsir. Hasanah adalah satu perkataan yang mempunyai maksud yang subjektif. Banyak penjelasan daripada mereka tentang tafsiran kalimah ‘hasanah’. Antaranya:
Ibnu Katsir rahimahullah berkata: “Kebajikan atau kebaikan (hasanah) di dunia itu meliputi semua yang bersifat keduniaan seperti sihat, selamat, tempat tinggal yang luas, isteri yang baik, rezeki yang banyak dan sebagainya. Manakala hasanah di akhirat pula, yang paling tinggi ialah masuk syurga dan selanjutnya semua kebahagiaan yang menjadi pelengkap kehidupan dalam syurga itu.”
Menurut al-Qadhi al-‘Iyadh rahimahullah, maksud hasanah itu ialah ni‘mat iaitu sama ada ni‘mat dari segi limpahan kurnia di dunia atau limpahan kurnia di akhirat atau ni‘mat terpelihara dari siksaan.
Manakala menurut Imam al-Qurthubi rahimahullah, maksud hasanah ialah iman. Sebagai contoh, barangsiapa yang mengucapkan syahadah, maka baginya setiap amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia ini akan digandakan dengan sepuluh ganda dari segi pahalanya. Abu Dzarr radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Allah ‘azz wa jall berfirman: “Sesiapa yang datang (melakukan) satu kebajikan, maka baginya sepuluh ganda pahala sepertinya dan Aku (Allah) akan menambahnya lagi.”
(Hadis riwayat Muslim)

3. Darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah subhanahu wa ta‘ala. ‘A’isyah radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Oleh yang demikian, peluang melakukan ibadat korban yang hanya datang beberapa hari dalam setahun di bulan Zulhijjah tidak wajar diabaikan dan dilepaskan peluang yang tidak ternilai itu begitu saja. Walaupun berkorban itu hukumnya hanyalah sunat sahaja iaitu sesiapa yang melakukannya mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya tidak berdosa, namun demikian kita hendaklah melihat perkara sunat itu dari perspektif yang berbeza bahawa sesiapa yang meninggalkannya “Alangkah ruginya!”. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berkemampuan yang mana menurut Imam asy-Syafi‘e: Tidak ada kelonggaran untuk meninggalkan (ibadat korban) bagi orang yang mempunyai kemampuan. Jika ditinggalkan juga, maka hukumnya adalah makruh.

Oleh kerana itu, hargailah dan rebutlah peluang untuk berkorban semata-mata mengharapkan keredaan Allah subhanahu wa ta‘ala di samping memperoleh fadilat yang telah dijanjikanNya. Semarakkanlah syiar Islam dengan melakukan ibadah korban selagi hayat dikandung badan.

Dipetik dari Risalah Korban
Mufti Kerajaan Negeri Brunei Darussalam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: