Posted by: abdullahdin | Januari 12, 2010

Allah Untuk Semua

Allah Untuk Semua
09/01/2010 — inksensei

Di saat ada satu kumpulan manusia berkumpul di kedutaan Mesir untuk membantah tindakan keji kerajaan Mesir menghalang bantuan kepada rakyat Palestine, samada melalui sekatan kepada konvoi bantuan ataupun menyekat terowong penyambung hidup rakyat di Gaza, ada satu lagi kumpulan manusia yang menumpukan perhatian pada satu isu yang saya kira, ramai yang sekadar mengikut tanpa mengkaji. Ya, mungkin ada yang marah dengan kenyataan ini & saya pasti kemarahan itu berasas, tapi marah yang sekadar mengikut tanpa ilmu & melihat realiti sebenar itu juga salah.

Di satu sudut sebenarnya apabila ada persamaan, dakwah itu lebih mudah disampaikan, & ini berdasarkan pengalaman sayasendiri secara direct dalam bidang ini di Sabah selama beberapa tahun sebelum ini. Ini memang isu penting, tapi yang lebih penting ialah; tanya diri kita; ” Apa yang kita dah lakukan untuk berdakwah kepada mereka yang bukan Islam di negara kita? Banyak tindak tanduk kita khasnya masyarakat melayu khususnya yang menjauhkan golongan ini dari Islam sebenarnya.

Bila Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah ketika hayatnya, Baginda s.a.w. bukan sekadar berdakwah kepada orang Islam sahaja, bahkan kepada orang bukan Islam juga, & dilakukan dengan penuh hikmah & kebijaksanaan. Jangan hanya bertindak sekadar mengikut emosi semata-mata tanpa mengira apa sebenarnya yang tertulis di dalam Al-Quran.

Pada masa yang sama, beberapa gereja diserang oleh mereka yang tidak diketahui siapa, seolah-olah satu kebetulan yang datang disaat kita sebenarnya sepatutnya fokus pada isu-isu yang lebih besar dalam negara sekarang. Seakan-akan ada tangan-tangan ghaib yang sedang terseyum…Liputan mengenai bantahan atas isu kalimah Allah keluar di semua saluran media perdana, sedang bantahan terhadap kerajaan Mesir seolah-olah ditutup rapat dari umum…kenapa agaknya ya?

Baca 3 tulisan di bawah, & kalau saya perlu memilih untuk pergi ke demonstrasi mana tadi, dengan mudah saya akan memilih untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan Mesir yang menindas saudara-saudara saya di Palestin, & saya yakin insyaAllah, saya membuat pilihan yang sepatutnya

Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita, moga Allah memberi hidayah kepada mereka yang belum Islam itu, & moga mereka yang sudah Islam itu faham & amalkan Islam yang sebenarnya, bukan sekadar adat atau ikut, tapi dengan ilmu & kefahaman. Pastinya kita wajib bangkit sekiranya mereka menyalahgunakan perkataan Allah itu, tapi soalnya sekarang, adakah itu yang berlaku? Atau kita yang sedang disalahgunakan?

Saya mohon keampunan Allah, & saya mohon kemaafan jika ada salah dalam tulisan ini.

Tulisan di bawah dipetik dari http://harakahdaily.net/v2/
Dr Dzulkefli Ahmad

Saya amat insaf isu penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.

Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari 2010. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.

Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat 60-40 atau “Mixed”, kesan “senjata dua mata” atau “double-edged sword” ini tidak dapat dielakkan. Ada yang suka dan menyokong dan tentunya ada yang akan kecewa dan marah.

Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berdasarkan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.

Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam. Berikut adalah penulisan secara ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.

Kerana kekangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.
i. Perspektif Al-Quran atau Hukum dan
ii. Perspektif Pentadbiran atau Perundangan dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.

Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.

Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah “Allah” sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama “Allah” oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?

Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.

Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Uluhiyah).

Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 :

“Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?”, Tentu mereka akan jawab “Allah”. Katakanlah “Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat “Rububiyah”(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).

Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama “Allah” adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.

Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat “persaudaraan agama samawiyat”, paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran:

“….kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri”…..

Surah Al-Angkabut:46.

Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima “Allah”, walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.

Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama “Allah”, maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama “Allah” itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.

Hal ini juga dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri . Ini aspek pengurusannya atau Siyasah Syariahnya, supaya dijaga maslahahnya dan dijauhkan mafsadah atau kemudharatanya. Jelasnya begitu.

Sebenarnya, perkara itulah yang dimaksudkan dengan Perkara 11(4) dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya di pihak berwajib menjaga pentadbiran kebebasan bergama supaya tidak timbul huru-hara dan ketidakstabilan dan dikekalkan keharmonian. Pada waktu yang sama agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam seperti Perkara 11 (4). Ini wajib dijaga dan perlu juga peraturan. Adakan peraturan. Jangan haramkan penggunaan nama Allah, tak selesai masalah.

Sebab itu juga keputusan PAS menekankan supaya jangan ada pihak yang terlalu agresif dan melakukan provakasi sehingga mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian antara agama dan konflik antara kaum-budaya.

Itu saja. Mengapa sampai nak berperang? Mengapa sampai nak berdemonstrasi? Kata 1-Malaysia? Mengapa perlu menimbulkan kesangsian dan syak wasangka sehingga menjejaskan keharmonian antara agama? Siapa yang mempolitikkan isu ini?

Pada saya yang lebih penting dari memperjuangkan isu nama “Allah” itu, ialah memperjuangkan Apa yang Allah perintahkan kepada kita ummat Islam, termasuk menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran termasuk membenteras rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, membasmi kemiskinan, kezaliman dll!

*Dr.Dzulkefly Ahmad ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: